Friday, May 24, 2013

Mencari Jalan Pulang


Abdullah Umar memandang jam di dinding biliknya. Ahh... sudah jam 3.45 petang. Terkocoh-kocoh dia bangun menuju ke bilik air lalu mengambil wudhu' untuk solat Zuhur. Leka benar dia dengan permainan Counter Strike di komputer. Sudah menjadi kebiasaan Abdullah bersolat pada akhir waktu. Padanya, tiada salahnya melewatkan solat. Solatnya masih sah sementelah ia masih dalam had waktu yang dibenarkan untuk menunaikan solat.
Abdullah tahu bahawa lebih afdal untuk menunaikan solat pada awal waktu namun dia kurang mengambil perhatian akan itu. Dia juga tahu bahawa solat adalah amalan manusia yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak namun Abdullah tetap begitu. Dia tetap liat untuk solat.
Dalam solat, kerap benar fikiran Abdullah menerawang hinggakan dia terlupa sudah berapa rakaat telah disempurnakannya. Abdullah asyik memikirkan permainan komputer yang dimainkannya sebentar tadi. Solatnya tidak khusyuk. Kerap kali begitu. Sukarnya untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat! Ahh... solat atau tidak sama sahaja. Tiada kesan pada Abdullah.
Abdullah berdoa ringkas. Doa dipanjatkan untuk ibu bapa dan dirinya. Tidak pula dia mendoakan saudara seIslam yang lain. Abdullah sangat mengetahui akan penderitaan dan penindasan yang berlaku kepada umat Islam di Syria, Palestin dan Myanmar serta umat Islam yang lain namun Abdullah tidak mendoakan keselamatan dan keamanan untuk mereka. Sebaliknya, Abdullah berasa beruntung sendiri kerana berada di negara yang aman.
Sekiranya Abdullah berada di tempat mereka, pastilah Abdullah mendambakan doa-doa daripada saudara seagama yang prihatin. Paling tidak, Allah mendengar doa dan insya-Allah, Allah akan makbulkan doanya. Maka, berkuranganlah perit derita yang mereka lalui. Umat Islam diibaratkan sebagai satu anggota badan. Apabila peha kanan dicubit, peha kiri turut terasa. Derita mereka sepatutnya menjadi derita Abdullah juga.
Abdullah juga seperti remaja lain yang mempunyai rasa ingin dicintai wanita. Sudah lama Abdullah berpasangan dengan Zila. Perkenalan yang membahagiakan itu terjadi ketika Abdullah dan Zila berada dalam semester dua peringkat pengajian diploma. Setiap hari mereka menghabiskan masa berjam lamanya untuk berbual sama ada melalui pesanan ringkas ataupun panggilan telefon.
Walaupun mereka sering bertemu, rindu antara mereka tidak pernah surut. Kerap kali mereka keluar berdua untuk makan bersama, menonton wayang dan membeli-belah. Dalam pelajaran pula, mereka berdua merupakan pelajar cemerlang di kolej mereka. Kebiasaannya pada setiap semester, CGPA mereka pasti di atas 3.50. Ramai rakan-rakan yang mencemburui kepintaran mereka, namun itulah rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah SWT yang sentiasa memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya yang gigih berusaha tanpa mengira tahap keimanan seseorang itu kepadaNya.
Walaupun begitu, jauh di sudut hati Abdullah ada terselit satu perasaan tidak tenteram. Solat dan Al-Quran tidak berjaya menegahnya daripada melakukan maksiat. Kadang-kala Abdullah mempersoalkan, jika solat menegah manusia daripada melakukan kemungkaran namun mengapa dia masih melakukan dosa dan maksiat. Di mana silapnya? Abdullah juga sering berzikir dan beristighfar namun Abdullah tidak menemui ketenangan daripadanya.
Abdullah cuba mencari makna di sebalik firman Allah SWT iaitu dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang namun mengapa Abdullah masih jauh daripada ketenangan? Dek kerana mencari ketenangan, Abdullah mengunjungi pusat karaoke, pusat snuker dan pernah sekali Abdullah ke kelab malam. Kunjungan Abdullah ke sana menimbulkan amarah bapanya. Bukan sahaja gagal menemui ketenangan yang dicari malah dirotan pula. Bapanya tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak sulungnya itu yang sepatutnya menjadi contoh dan pelindung kepada adik-adiknya mengunjungi kelab malam!
Satu hari ketika Abdullah di kedai buku, Abdullah terdengar sebuah lagu merdu yang didendangkan di radio. Abdullah segera mendekati corong suara untuk mendengar dengan lebih jelas lagi.
"Jalan pulang bukannya mudah, musuh nafsu ajak menyerah,
mohon taufik mohon hidayah, agar selamat dari fitnah."
Bait-bait lagu tersebut menyentuh hati Abdullah. Rasa sayu menggayut hati. Entah apa istimewanya lagu itu namun ia hampir-hampir mengalirkan air mata Abdullah. Pulang ke rumah, Abdullah bermuhasabah diri. Dia merasakan hidupnya selama ini banyak diluangkan untuk perkara sia-sia. Dia sepatutnya menjadi khalifah Allah yang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW namun banyak hal berkaitan Islam yang Abdullah abaikan.
Jauh benar beza dirinya dengan pemuda pada zaman Rasulullah SAW. Pemuda seperti Saidina Ali RA sanggup menawarkan nyawa sebagai galang ganti kepada nyawa Rasulullah SAW yang ingin dibunuh oleh Musyrikin Mekah. Betapa teguhnya iman Saidina Ali RA!
Mengenangkan betapa lemahnya iman, air mata Abdullah mengalir tanpa tertahan lagi. Segera, sejadah dicapai dan solat sunat taubat dilakukan. Lama Abdullah bersujud sambil diiringi air mata yang deras mengalir. Pada Allah ampunan diharapkan. Dalam doanya, "Saksikanlah Ya Allah, hari ini Abdullah Umar datang menyerah diri dan mengakui segala dosa. Ya Allah, ampunkan aku. Sungguh, aku sangat menzalimi diriku sendiri."
Abdullah memutuskan untuk bertemu Ustaz Hanafi, guru agama di sekolahnya dulu. Abdullah tahu, Ustaz Hanafi pasti bersedia membantunya. Apabila disoal tentang hidayah yang datang melalui lagu, kata Ustaz Hanafi, "Jika lagu tersebut mengajak kepada keesaan Allah dan mendatangkan keinsafan kepada kita, maka itulah hidayah daripada Allah. Abdullah, bersyukurlah Allah mengurniakanmu hidayah. Hargailah... takut-takut ini hidayah yang terakhir."
Abdullah pulang dengan hati penuh penyesalan. Abdullah bertekad untuk memelihara hidayah yang diperolehinya. Ibu dan bapa Abdullah sangat menyenangi perubahan Abdullah. Dinamakan Abdullah Umar sempena Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang soleh. Sudah tentu ibu bapanya mendambakan zuriat mereka itu juga soleh.
Kini Abdullah fahami, kebaikan dan dosa tidak boleh dicampurkan. Berpasangan dan melakukan perkara yang sia-sia yang lain menambahkan lalai di hati Abdullah. Ia membuatkan Abdullah semakin jauh daripada cinta Allah. Abdullah juga tidak merasakan kemanisan beribadah kepada Allah. Dia belajar untuk bersyukur dan menghayati setiap bait zikir yang dilafazkannya.
Abdullah berazam untuk meninggalkan jalan-jalan maksiat. Hubungannya dengan Zila banyak menambahkan saham dosa Abdullah. Mengingati, merindui dan memandang Zila sering membawa kepada zina fikiran dan hati. Abdullah khuatir hatinya bertambah gelap dengan dosa. Oleh itu, Abdullah terpaksa bertegas dengan kemahuan nafsunya. Cukup sukar untuk Abdullah melakukannya namun Abdullah ikhlaskan hati. Semuanya demi mengejar cinta yang agung. Matlamat Abdullah semakin jelas kini. Hanya redha Allah yang akan dicari. Abdullah mengharapkan penghijrahan kali ini hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah SWT meredhai usaha Abdullah dalam mencari jalan kembali.

Thursday, May 2, 2013

Romantik Itu Sunnah Nabi


Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati... mungkin yang diketahui romantik sesama 'couple' ...No..No..No.. ini romantik sesama pasangan suami isteri.. apa lagi... jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy.. best oo kahwin... kalau tak percaya..cubalah kahwin.. hehehe..

Rasulullah Sollahhu 'Alaihi Wasallam (SAW) adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud : "Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung."

Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda.

Isteri Sebagai Bukti

Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.

Walaupun Rasulullah SAW seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.

Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah-olah sedang menghayati novel cinta romantik.

Mandi Bersama

Diberitakan bahawa Rasulullah SAW pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa  Aisyah berkata bahawa : "Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq." Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.

Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.

Hantar Isteri Keluar Rumah

Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata :

"Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)." [Hadis Bukhari dan Muslim]

Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa "Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta."

Bukakan Pintu Kereta

Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.

Bawa Isteri Jalan-Jalan

Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa "Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya."

Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)

Suapkan Makanan

Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : "Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu." Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan?

Belaian & Bermanja

Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa :

"Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian."

Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa "Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid."

Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata "Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku."

Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa :

"Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW". (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.

Pengubat Hati

Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa :

"Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit." (Bukhari dan Muslim)

Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.


Bergurau Senda

Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke rumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata :

"(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu."

Saodah menolak dengan berkata : "Aku tidak akan memakannya."

Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai'e, Ibn Abi Dunya)

Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.

Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan.

Panggilan Manja

Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil "Ya Humaira" kepada Aisyah yang bermaksud "Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah". Ia membuatkan ikatan itu lebih intim.

Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja "Ya Aisy" yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.

Jangan Malu Jadi Romantik

Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan.

Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.

Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.

Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami; adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet?

Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.