Saturday, March 16, 2013

Mulia Memaafkan & Menahan Marah


"Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan, serta tidaklah seorang hamba merendahkan diri karena Allah melainkan Allah meninggikan darjatnya." (Hadis Riwayat Muslim)

"Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (Hadis Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Nabi s.a.w. bersabda, "Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia." (Hadis Riwayat Muslim)

Allah SWT berfirman, "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya di waktu senang mahupun di waktu sempit, dan orang-orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan orang. Allah suka kepada orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali Imran : 133-134)

Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Dilaporkan kepada Allah semua perbuatan manusia pada setiap hari Khamis dan Isnin, lalu Allah 'Azza Wa Jalla mengampuninya pada hari itu juga, diampunkan setiap orang yang tidak syirik (menyengutukan) sesuatu dengan-Nya, kecuali sesiapa yang sedang bermusuhan, iaitu Allah berfirman untuknya: Tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua-dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai, tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua-dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai." (Hadis Riwayat Muslim)

"Dan jika kalian memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Taghobun : 14)

"Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nuur : 22)

Monday, March 11, 2013

Siapa Rasulullah Di Hati Kita?


Rindukah kamu pada Rasulullah?
Sayangkah kamu pada Rasulullah?
Cintakah kamu pada Rasulullah?

Tahukah kamu, bahawa Rasulullah sangat mencintai kita?

Di saat malaikat maut ingin mencabut nyawa, baginda tidak gembira dan tenang pergi bertemu Illahi sehingga mendengar melalui Malaikat Jibril bahawa Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa tidak akan masuk syurga umat-umat lain melainkan umat Baginda s.a.w. dahulu memasukinya. Subhanallah... Begitu dalamnya cinta Baginda kepada kita.

Tahukah kamu, Rasulullah sangat menyayangi kita?

Di saat Malaikat Jibril datang kepada Baginda dan menerangkan sifat-sifat neraka jahanam, dan menerangkan bahawa bahagian yang paling atas dari semua tingkat neraka jahanam itu adalah untuk umat Nabi Muhammad yang berbuat dosa-dosa besar dan tidak sempat bertaubat, Baginda jatuh pengsan.

Baginda begitu sedih dan berdukacita. Baginda menangis sehingga Baginda tidak keluar rumah kecuali hanya untuk solat dan tidak berbicara dengan orang. Ya Allah....begitu besar kasih sayang Rasulullah kepada kita.

Tahukah kamu Rasulullah sangat merindui kita.?

Di saat malaikat maut ingin mencabut nyawa, nama kita disebut-sebut baginda.

"ummati...ummati...ummati..."

Tahukah kamu, Rasulullah sangat rindu bertemu dengan kita?

ketika Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda bertanya kepada sahabat.

"siapakah yang paling ajaib imannya?"

 Seorang sahabat menjawab, "malaikat..."

Baginda menjelaskan,  "bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka hampir dengan Allah.."

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi,  "Para nabi.."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka.." jelas Rasulullah..

" Mungkin kami..." celah seorang sahabat...

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu.." Rasulullah menyangkal..

"kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-NYA sahaja yang lebih mengetahui.." jawab seorang sahabat..

"kalau kamu ingin tahu siapa mereka? mereka ialah umatku yang hidup selepasku..mereka membaca Al-Quran dan beriman dengan semua isinya..berbahagialah orang yang dapat bertemu dan beriman denganku...dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku.." jelas Rasulullah...

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

Sedarkah kamu. Tahukah kamu, siapakah 'ikhwan' Baginda? Siapakah yang Baginda rindu ingin bertemu?

Mereka adalah kita. Umat Rasulullah. Mereka yang belum pernah melihat baginda Rasulullah tetapi beriman dengan Baginda sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintai Rasulullah melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.

Betapa Rasulullah ingin bertemu dengan kita. Betapa Rasulullah rindu akan kita.


Tapi kita... 
Adakah kita cinta pada Rasulullah?
Adakah kita sayang pada Rasulullah?
Adakah kita rindu pada Rasulullah?

Kalimah sayang, cinta, rindu, sering meniti di bibir 
Namun, mana buktinya?
Mana bukti kita sayang pada Baginda?
Mana bukti kita cinta pada Baginda?
Mana bukti kita rindu pada Baginda?

Tepuk dada, biarlah iman kita yang berbicara.

Ayuh sahabat, jangan hanya berkata-kata.
Ayuh buktikannya...
Buktikan bahawa kitalah yang Rasulullah cinta
Kitalah yang Rasulullah rindui dan ingin berjumpa

Bagaimana???

"Tak kenal maka tak cinta..."

Justeru, ayuh sama-sama kita kenali baginda Rasulullah SAW.

Kita ikuti sirah hidup baginda.

Jadikan baginda idola dalam hidup kita

maka...kita haruslah ikuti sunnah baginda.
dari awal kita celik mata sehinggalah kita pejamkan mata...

Ikut apa yang Rasulullah kata... "sampaikan dariku walaupun sepotong ayat" pesan baginda;

" Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamaya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku"
(Hadist riwayat Imam Malik bin Anas dalam al-Muwattha' - no: 1619)



Walau kemana kita pergi. Walau siapapun kita. Walau setinggi mana pangkat kita. Walau sebanyak mana harta kita,  ingatlah... Jangan pernah tinggalkan Al-Quran dan sunnah Baginda. Hidup  seiring dan landasilah ia pada Al-Quran dan Sunnah Baginda. Jadikan Al-Quran dan sunnah Baginda pegangan dan panduan hidup kita. 

Semoga kita menjadi umat Nabi Muhammad yang Baginda rindu ingin bertemu. Semoga kita salah seorang yang mendapat syafaat Rasulullah di akhirat kelak. Semoga kita dapat bertemu dengan Rasulullah di taman syurga nan indah.

Thursday, March 7, 2013

Aku Dah Penat Berdoa


Siapa yang tidak pernah rasa sedih? Siapa yang tidak pernah kecewa? Rasulullah S.A.W sendiri pernah rasa kecewa dan pernah berada dalam keadaan yang sangat sedih. Setiap orang pernah diuji dengan pelbagai dugaan berbentuk perasaan. Sedih, resah, adakalanya gembira dan ketawa dan pastinya tidak mampu terlepas dari perasaan kecewa juga.

Kecewa?

Satu perasaan di mana hadirnya mungkin kerana sesuatu yang diinginkan tidak dapat dimiliki seperti yang dibayangkan. Mungkin juga kecewa kerana kehendak hati tidak dapat dipenuhi.
Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini?
"Aku sudah penat berdoa, tetapi Allah tidak pernah memakbulkan doa dan permintaanku. Aku sudah penat!"

Putus asa?

Ya, jelas sekali rasa putus asa yang terzahir dari situasi di atas. Kadang-kadang sepertinya kita menyalahkan takdir pula. Sedangkan Allah mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya. Kerana hanya Pencipta tahu apa yang diperlukan dan terbaik untuk ciptaan-Nya. Kadang-kadang apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita, dan banyak pula perkara yang tidak kita senangi itu sebenarnya adalah baik untuk kita.
Sebagaimana penegasan Allah dalam kitab-Nya yang mulia al-Quran: 
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui." (Surah al-Baqarah:ayat 216)
Persoalannya, wajarkah kita untuk kecewa? Kecewa itu fitrah perasaan. Tetapi bagaimana pula kiranya kalau kekecewaan itu menyebabkan kita berani menuding jari menyalahkan takdir ketentuan Allah?
Mungkin ramai di antara kita frust bila setiap yang diimpikan tidak menjadi kenyataan. Lalu, kita kecewa dan sedih. Kita berdoa tetapi tidak kesemuanya ditunaikan. Kecewakah? Nanti dulu, sahabat. Tanyalah pada diri. Bukankah setiap yang kita miliki saat ini tidak semuanya kita minta daripada Allah.
Tapi Allah dengan murah hati memberi sebelum kita minta. Allah tetap mengurniakan tanpa kita mengajukan kemahuan tersebut kepada-Nya.
Pernahkah kita minta pada Allah untuk dikurniakan oksigen agar kita dapat kita bernafas? Adakah kita setiap hari meminta izin daripada Allah untuk menggunakan kaki, tangan dan lain-lain anggota? Adakah kita pernah minta supaya Allah meminjamkan mata untuk melihat dan mulut untuk bercakap pada setiap hari? Besar kemungkinan jawapannya tidak, bukan?
Jadi mengapalah berkira andai baru sekali kita dibiarkan merasa kecewa. Bukankah ujian itu tanda sayangnya Allah pada hamba-Nya? Sebelum kecewa, nanti dulu. Berhentilah dan cubalah untuk berfikir kembali. Kenanglah segala nikmat yang Allah berikan sehingga tidak mampu kita kira apatah lagi untuk menyukatnya. Jangan hanya kerana kecewa, anda sudah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan atau membunuh diri!
Jadi, tapislah kekecewaan kita supaya jangan kita melampaui batas dalam melayan rasa itu. Kekecewaan yang bermanfaat ialah kekecewaan yang membawa diri dan hati kita lebih dekat dan menyayangi Allah. Kekecewaan yang membahagiakan ialah di saat kebahagiaan itu berjaya mengukuhkan keyakinan hati kita dalam mengimani qada' dan qadar Allah.
Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmah-Nya.
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." (Surah Ali Imran: ayat 139)
Wallahu'alam.